Isnin, Mac 23, 2009

Sukarkah pemimpin KadazanDusunMurut (KDM) untuk bersatu

Dewasa ini, kita ada beberapa pemimpin ulung KadazanDusunMurut atau lebih dikenali KDM iaitu Huguan Siou DSP Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Dr. Maximus J. Ongkili (BN-PBS), Radin Malleh (Murut-BN-PBS), Tan Sri Bernard Dompok, Dtk Wilfred M. Bumburing (BN-UPKO), Tan Sri Joseph Kurup (BN-PBRS), Datuk Dr. Jeffrry Kitingan (PKR-pembangkang). Hanya sebilangan kecil yang sempat disebut oleh penulis dan mempunyai fahaman politik yang berbeza. Kita harus mencontohi satu ketika dahulu apabila Tun Fuad Stephen Presiden UNKO bersatu dengan G.S Sundang dan OKK Sodomon Pemimpin parti PASOK bersatu perjuangan politik dalam UPKO. Apa yang berlaku hari ini sangat-sangat membimbangkan kelangsungan KDM dalam memartabatkan bangsa. Sudahlah fahaman politik yang berbeza sehingga menyebabkan antara KDM berbalah dan bergaduh serta tuduh menuduh sesama sendiri. Timbul pula isu untuk dalam mempersoalkan identiti KDM di dalam persatuan besar iaitu KDCA, USDA dan yang terbaru KSS.

Impian rakyat Sabah khususnya masyarakat peribumi KDM dari dulu hingga kini ialah melihat semua pemimpin KDM bersatu atas satu wadah iaitu orang KDM menjadi akar umbi yang kuat seumpama tiang seri yang menjadi pasak sebuah rumah bernama SABAH. Bukan satu omong-omong kosong apabila mengharapkan pemimpin KDM berjuang di bawah pertubuhan politik yang berbeza untuk bersatu. Cuma titik koordinat yang tepat perlu dicari. Soalnya adakah pemimpin KDM akan bersatu atas faktor agama, bangsa atau bahasa semata-mata. Misi untuk melihat pemimpin KDM bersatu jangan hanya melihat kepada keuntungan ekonomi dan kuasa semata-mata. Tetapi perlu melihat, apakah peranan yang pemimpin muda setiap parti politik KDM akan mainkan demi kelangsungan orang KDM sebagai penduduk bumiputera majoriti di Sabah.

Cadangan untuk pemimpin KDM bersatu perlu dilihat sebagai titik tolak perjuangan abad baru atau frasa popularnya anjakan paradigma dan bukan sekadar ajakan paradigma. Perkara menggabungkan parti bertunjangkan KDM jika tidak dalam satu parti boleh juga dalam satu gagasan atau sekretariat yang bukan bermotifkan perbezaan politik tetapi untuk KDM semata-mata. Ibarat biar Ahli Parlimen bertekak mempertahankan pendapat di dalam Dewan Parlimen tetapi apabila di meja makan boleh saja makan dan minum bersama tanpa ada sentimen walau sekelumit pun.

Orang KDM sedang berdepan satu suasana yang memerlukan gabungan dan 'campuran' yang sesuai tidak kira dari parti mana mereka berada. Isu globalisasi yang tidak pernah wujud di era 1950-an hingga 1980-an perlu dilihat oleh pimpinan tertinggi PBS, UPKO dan PBRS untuk bersatu dalam satu wadah yang sesuai. Dulu kita boleh berpolitik untuk menjadi jaguh kampung, era ini jika kita gagal merapatkan barisan, nescaya pengaruh asing akan menelan kedaulatan kita sebagai bangsa yang berdaulat dan merdeka. Di kala itu jangan kata hendak duduk semeja berbincang malahan berbalah pun tiada rakyat yang akan peduli. Nasi sudah menjadi bubur. Pemimpin yang terus-terusan bermain politik demi menegakkan fahaman peribadi, kepentingan diri, mengejar jawatan dan pegangan sempit akibat luka lama perlu dilupakan demi memikirkan generasi baru yang disogokkan oleh anasir-anasir luar yang lebih hebat daripada era teknologi maklumat pasca merdeka.

Orang muda hari ini ibarat pelari pecut yang menjadi pembawa baton terakhir, dia mungkin menjadi pemecut yang akan berlari sehabis daya atau akan berlari sambil lewa akibat ketinggalan jauh. Orang muda yang membawa baton terakhir ini perlu diberi peringatan bahawa ada tiga pelari sebelum dirinya sudah bersusah payah membawa baton kepadanya. Ibarat sebuah negara, pemimpin muda perlu terus berlari atau berjuang membawa aspirasi pemimpin sebelum mereka dalam mengisi kemerdekaan dengan cara yang sepatutnya.Pemimpin terdahulu menyatukan seluruh rakyat dengan kemajuan negara dari segi ekonomi dan sosial. Era ini rakyat masih menerima keadaan yang sama namun pemikiran orang muda hari ini agak sukar dijangka. Keadaan ini memerlukan pemimpin muda dari setiap parti bertunjangkan KDM sepenuhnya untuk memimpin generasi kini dengan konsep kepimpinan melalui teladan.

Pemimpin KDM sewajarnya sudah menemui titik koordinat untuk menyatukan perjuangan bangsa dalam era yang begitu berbeza dari kurun ke 20. Pemimpin parti KDM seperti PBS, UPKO dan PBRS perlu mencari jalan untuk menjadikan titik koordinat penyatuan tanpa syarat tidak munasabah termakbul demi kelangsungan bangsa KDM

15 ulasan:

ILLIE berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
ILLIE berkata...

"Sukarkah pemimpin KDM untuk bersatu"?....Jawapannya ialah MEMANG SUKAR!!! kenapa saya katakan sukar? sebap pemimpin2 KDM yang sdr.Junid sebutkan dalam entri ini terlalu ego dan sombong!!

Punca perpecahan KDM ialah pemimpin2 yang selama ini kita anggap sebagai RAJA KDM.Segala-galanya bermula pada tahun 1994.Dari sinilah para pemimpin KDM saling bermusuhan sesama sendiri.Kerana terlalu tamak pada kuasa dan kerakusan mengejar impian,pemimpin2 ini sanggup melihat bangsa sendiri berpuak-puak.

Pada bulan december 2007,Pairin,Dompok dan Kurup telah membuat PIBABASAN konon2 mahu melihat bangsa KDM akan bersatu kembali.Apakah kita melihat kesan PIBABASAN pemimpin2 ini?Jauh panggang dari api..malah saya melihat perpecahan bangsa KDM semakin hari semakin teruk dan kadang2 telah menular ke kawasan2 kampung.

Jadi untuk masa terdekat,kita jangan mimpilah melihat bangsa KDM bersatu kembali selagi pemimpin2 ini masih berkuasa.

Little Mike (LM) berkata...

bangsa kadazanDusunMurut boleh bersatu tapi masalah besar ialah pemimpin yang pernah merekodkan ketidaksatuan dalam muafakat terus 'meninggi' diri antara satu sama lain. Wacana penyatuan sekadar retorik...

Bukan susah bersatu tapi politik licik menyukarkan cara bersatu.

RumbiaMasolog berkata...

Kalau pemimpin ketika ini sukar untuk bersatu maka jangan biarkan usaha untuk bersatu ini dikuburkan. Pemimpin (sabah) skrg ini saya rasa tidak brapa buli pakai sudah sb mereka mendahului kepentingan peribadi lebih dari perjuangan untuk memartabatkan bangsa dan negeri. Selain faktor agama, perpecahan dikalangan pemimpin KDM kita yg telah menyebabkan UMNO berjaya menyusup masuk ke negeri kita. Sungguh sedih kerana parti luar malah parti bangsa lain telah menguasai negeri kita. Adakah parti dari negeri sendiri sukar untuk menjadi TUAN di bumi sendiri? Tidak kiralah PBS, USNO, PASOK, UPKO, PBRS, AKAR, PDS dsb asalkan parti peribumi kita....

Tidak kah para pemimin kita ketika ini malu terhadap pemimpin sebelum mereka yg benar2 memperjuangkan hak dan keistimewaan rakyat negeri Sabah?. Terus terang sayang sangat MALU dgn pemimpin KDM skrg.. SO ASHAME...

Oleh itu pengajarannya kita yang sekrang ini, pemimpin pelapis. Marilah kita fokuskan kepada penyatuan agar BERSATU KITA TEGUH akan kembali dan yang sudah roboh sekarang dapat kita bangunkan kembali dan seterusnya berdiri teguh demi bangsa dan negeri tercinta.

Masih belum terlambat untuk kita bermula dari mula agar kita dapat bersatu memperjuangkan SABAH FOR SABAHAN!!!!...

Junid Bin Gunsalam berkata...

hye illie, mike dan RMasolog..

perkara ini juga amat menyedihkan. selagi kita tidak bersatu, susah untuk kita mencari formula untuk bersaing dengan bangsa lain...sy tengok pemimpin muda pun pada masa sekarang pun bercerai-cerai disebabkan terikut-ikut rentak pemimpin yang ada sekarang. siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini? pemimpin KDM harus sanggup berkorban demi masa depan anak cucu kita....

dardie berkata...

Alasan dan sebab utama mengapa (pandangan peribadi)mereka ini sukar lagi bersatu adalah:-
1. Agenda peribadi - mahu bersaing berdiri menjadi pemimpin tetapi nait untuk keuntungan peribadi saja.
2. Pemikiran dan pandangan tidak jauh mengenai masa depan bangsa - prinsip yang diamalkan adalah "PEDULI TENTANG MASA DEPAN, YANG PENTING SELAGI ADA PELUANG AMBIL KESEMPATAN DULU.."
3. Mudah dipujuk - hanya kedudukan yang dijanjikan sanggup membelakangkan nasib rakyat.
4. Mentaliti politik masih di takuk lama - tidak kreatif dalam membangunkan kawasan yang diwakili..
5. Dan yang paling besar antara semua adalah WANG dan KUasa - kebanyakannya gila wang dan gila kuasa....

Tiada statement dan tiada analisis yang rakyat dan orang kampung dapat buat mengenai kenyataan2 ini..tapi, inilah apa yang rakyat perhatikan selama tiga penggal...banyak lagi sebenarnya luahan rakyat bumi Sabah...

Junid Bin Gunsalam berkata...

hye..dardie..

satu kerinduan sy agar satu hari nanti parti PBS, UPKO dan PBRS akan bergabung demi memelihara masyarakat KDM di Sabah....sebenarnya mereka boleh berkompromi..tetapi bila?

Tanpa Nama berkata...

selain sikap pemimpin kita....mungkin ada faktor luaran yang menyebabkan situasi ini terjadi. Perpecahaan KDM akan menguntungkan beberapa pihak kerana tidak mahu suara KDM terlalu kuat seperti pada zaman kebangkitan era PBS dulu.

dardie berkata...

Saudara Junid,

Kita mempunyai impian yang sama untuk melihat mereka kembali bersatu memperjuangkan hak pribumi sabah disamping bergabung pengaruh dan kekuatan untuk membangunkan negeri kita yang tercinta..ataupun apakah kita mahu menunggu pemimpin2 pelapis yang berpandangan jauh seperti saudara untuk memperjuangkan hasrat ini? kerana rakyat mahukan mereka yang boleh memartabatkan negeri dan semua bangsa isinya...

Junid Bin Gunsalam berkata...

hye saudara dardie dan bloggers yang...

apa idea saudara agar pemimpin2 KDM bersatu kembali dan tidak bertelagah sesama sendiri???

idea anda amat diperlukan.

dardie berkata...

Saudara Junid,

Hali ini memerlukan kerelaan, komitmen dan pengorbanan daripada banyak pihak terutama pemimpim KDM itu sendiri. Antara perkara yang perlu direnungkan dan diambil fikir adalah:-
1. Lupakan agenda peribadi dan tumpukan kepada usaha membangun bangsa dan negeri tercinta.
2. Perlu ada pertemuan di kalangan KDM bagi membincang secara lebih intelek dan rasional pokok perjuangan mereka agar titik pertemuan serta koordinat perjuangan dapat dilihat dengan jelas.
3. Sokongan rakyat yang berterusan kepada usaha "bersatu" ini.
4. Pemimpin2 KDm yang sedia pintar dan bijak perlu menggunakan kelebihan ini utk memperjuangankan bangsa.

ermmm...banyak lagi..mungkin rakan2 seblog sekalian boleh menambah lagi..

Tanpa Nama berkata...

hi junid, apa khabar, nama saya ismadi (bukan nama sebenar). saya pernah tinggal di tandek buat beberapa ketika. keadaan pada mula-mula saya tiba dengan kini sudah banyak berubah.ini disebabkan dengan adanya ahli parlimen yang bertanggjawab, berpengalaman dan mesra rakyat.ya mmg ada kelemahan disana sni tapi ingatlah tiada siapa yang sempurna. saya masih ingat dlu saya pernah tinggal di salimandut di rumah saudara lorin manjangkin, mcm mcam masalah tapi kini keadaan lebih baik dari dulu.saya sangat merindui jln di monsolog,longob, damai, dan mandi di sungai tarasak.

salam dari perantauan.

Junid Bin Gunsalam berkata...

hye..ismadi

ko d mana sekarang. bh kita kontek2 la ar..

Tanpa Nama berkata...

junid, minta maaf,saya gunakan blog kamu.btw ini email saya.saudara boleh berhubung dengan saya melalui email devilinside46@yahoo.com.sekiranya ada kesudian boleh la kita berhubung untuk berkongsi pandangan atau apa sahaja maklumat tentang tandek. saya kenal DR max dan dia pernah membantu saya ketika saya susah suatu ketika dahulu.sekiranya junid ada berjumpanya, kirim salam la padanya.err junid, tlg jgn siarkan komen ini pada public.tak manis lah kalu org lain membacanyanya. ni blog bincang ilmiah bukan main chating.

cheers
ismadi

TANAK TANDIK berkata...

apalah yang boleh diharap dengan PBS? sekadar menjadi alat untuk pemimpin pusat meluaskan kekayaan dibumi Sabah. Musa Aman? adakah dia PBS? UPKO? dia kadazandusunkah?? kita sibuk-sibuk cakap pasal penyatuan kadazandusun sedangkan sesetengah parti kadazan dusun bersekongkol dengan Musa Aman yang penjenayah ini...!!!


sia-sia saja kalau Musa Aman masih Jadi Ketua Menteri sabah!!

PBS dipelawa menyertai pakatan rakyat...dengan ikhlas plz, PBS harus menyertai pakatan Rakyat dan menjadi wadah perjuangan Orang Sabah!!!!!!

Hidup Pakatan Rakyat!!!!