Memaparkan catatan dengan label kadazandusunmurut. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kadazandusunmurut. Papar semua catatan

Isnin, Mac 23, 2009

Sukarkah pemimpin KadazanDusunMurut (KDM) untuk bersatu

Dewasa ini, kita ada beberapa pemimpin ulung KadazanDusunMurut atau lebih dikenali KDM iaitu Huguan Siou DSP Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Dr. Maximus J. Ongkili (BN-PBS), Radin Malleh (Murut-BN-PBS), Tan Sri Bernard Dompok, Dtk Wilfred M. Bumburing (BN-UPKO), Tan Sri Joseph Kurup (BN-PBRS), Datuk Dr. Jeffrry Kitingan (PKR-pembangkang). Hanya sebilangan kecil yang sempat disebut oleh penulis dan mempunyai fahaman politik yang berbeza. Kita harus mencontohi satu ketika dahulu apabila Tun Fuad Stephen Presiden UNKO bersatu dengan G.S Sundang dan OKK Sodomon Pemimpin parti PASOK bersatu perjuangan politik dalam UPKO. Apa yang berlaku hari ini sangat-sangat membimbangkan kelangsungan KDM dalam memartabatkan bangsa. Sudahlah fahaman politik yang berbeza sehingga menyebabkan antara KDM berbalah dan bergaduh serta tuduh menuduh sesama sendiri. Timbul pula isu untuk dalam mempersoalkan identiti KDM di dalam persatuan besar iaitu KDCA, USDA dan yang terbaru KSS.

Impian rakyat Sabah khususnya masyarakat peribumi KDM dari dulu hingga kini ialah melihat semua pemimpin KDM bersatu atas satu wadah iaitu orang KDM menjadi akar umbi yang kuat seumpama tiang seri yang menjadi pasak sebuah rumah bernama SABAH. Bukan satu omong-omong kosong apabila mengharapkan pemimpin KDM berjuang di bawah pertubuhan politik yang berbeza untuk bersatu. Cuma titik koordinat yang tepat perlu dicari. Soalnya adakah pemimpin KDM akan bersatu atas faktor agama, bangsa atau bahasa semata-mata. Misi untuk melihat pemimpin KDM bersatu jangan hanya melihat kepada keuntungan ekonomi dan kuasa semata-mata. Tetapi perlu melihat, apakah peranan yang pemimpin muda setiap parti politik KDM akan mainkan demi kelangsungan orang KDM sebagai penduduk bumiputera majoriti di Sabah.

Cadangan untuk pemimpin KDM bersatu perlu dilihat sebagai titik tolak perjuangan abad baru atau frasa popularnya anjakan paradigma dan bukan sekadar ajakan paradigma. Perkara menggabungkan parti bertunjangkan KDM jika tidak dalam satu parti boleh juga dalam satu gagasan atau sekretariat yang bukan bermotifkan perbezaan politik tetapi untuk KDM semata-mata. Ibarat biar Ahli Parlimen bertekak mempertahankan pendapat di dalam Dewan Parlimen tetapi apabila di meja makan boleh saja makan dan minum bersama tanpa ada sentimen walau sekelumit pun.

Orang KDM sedang berdepan satu suasana yang memerlukan gabungan dan 'campuran' yang sesuai tidak kira dari parti mana mereka berada. Isu globalisasi yang tidak pernah wujud di era 1950-an hingga 1980-an perlu dilihat oleh pimpinan tertinggi PBS, UPKO dan PBRS untuk bersatu dalam satu wadah yang sesuai. Dulu kita boleh berpolitik untuk menjadi jaguh kampung, era ini jika kita gagal merapatkan barisan, nescaya pengaruh asing akan menelan kedaulatan kita sebagai bangsa yang berdaulat dan merdeka. Di kala itu jangan kata hendak duduk semeja berbincang malahan berbalah pun tiada rakyat yang akan peduli. Nasi sudah menjadi bubur. Pemimpin yang terus-terusan bermain politik demi menegakkan fahaman peribadi, kepentingan diri, mengejar jawatan dan pegangan sempit akibat luka lama perlu dilupakan demi memikirkan generasi baru yang disogokkan oleh anasir-anasir luar yang lebih hebat daripada era teknologi maklumat pasca merdeka.

Orang muda hari ini ibarat pelari pecut yang menjadi pembawa baton terakhir, dia mungkin menjadi pemecut yang akan berlari sehabis daya atau akan berlari sambil lewa akibat ketinggalan jauh. Orang muda yang membawa baton terakhir ini perlu diberi peringatan bahawa ada tiga pelari sebelum dirinya sudah bersusah payah membawa baton kepadanya. Ibarat sebuah negara, pemimpin muda perlu terus berlari atau berjuang membawa aspirasi pemimpin sebelum mereka dalam mengisi kemerdekaan dengan cara yang sepatutnya.Pemimpin terdahulu menyatukan seluruh rakyat dengan kemajuan negara dari segi ekonomi dan sosial. Era ini rakyat masih menerima keadaan yang sama namun pemikiran orang muda hari ini agak sukar dijangka. Keadaan ini memerlukan pemimpin muda dari setiap parti bertunjangkan KDM sepenuhnya untuk memimpin generasi kini dengan konsep kepimpinan melalui teladan.

Pemimpin KDM sewajarnya sudah menemui titik koordinat untuk menyatukan perjuangan bangsa dalam era yang begitu berbeza dari kurun ke 20. Pemimpin parti KDM seperti PBS, UPKO dan PBRS perlu mencari jalan untuk menjadikan titik koordinat penyatuan tanpa syarat tidak munasabah termakbul demi kelangsungan bangsa KDM