Jumaat, September 04, 2009

13 Mei boleh berulangkah?

SEJAK kebelakangan ini, hampir setiap hari kita disajikan dengan pelbagai peristiwa yang berlaku dalam negara yang mula menggugat perpaduan dan keharmonian kaum yang dibanggakan selama ini. Senarainya semakin hari semakin panjang yang sekali gus mengundang seribu satu persoalan apakah peristiwa 13 Mei 1969 bakal berulang. Walaupun tahun ini genap 40 tahun tragedi malang itu menimpa negara kita, namun saya pasti masih ramai di kalangan kita yang boleh terbayang-bayang apa yang berlaku pada tarikh keramat tersebut yang sekali gus menjadi titik hitam yang sukar untuk dipadamkan daripada lipatan sejarah negara ini dan ia tidak mustahil berulang jika tidak diambil langkah yang sewajarnya.

Satu demi satu peristiwa yang menyentap perpaduan kaum mula diperagakan untuk tatapan umum oleh pihak-pihak yang jelas mempunyai agenda dan kepentingan peribadi masing-masing. Dalang-dalang ini begitu licik memainkan peranan tanpa kita sedari akan rupa bentuknya dan natijah yang bakal dibawanya bersama. Mahu tidak mahu kita perlu akui bahawa antara punca utama soal perpaduan kaum menjadi bahan perbualan dan perdebatan adalah akibat daripada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12) pada Mac 2008 yang jelas menukar landskap politik tanah air kita. Kesannya cukup mendalam dan meninggalkan implikasi yang sangat besar kepada kita semua.

Akibatnya juga sudah ada pihak yang begitu berani menyuarakan hak dan pelbagai tuntutan yang jelas tidak berasas dan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati pihak yang lain. Mereka yang sebelum ini tidak langsung dikenali oleh masyarakat sudah mula menjadi hero dan pejuang golongan tertentu. Mereka muncul umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan iaitu selepas PRU 12. Mempersoalkan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan, mengadakan demonstrasi haram, mencabar pihak berkuasa dengan sengaja, menyebar pelbagai fitnah dan khabar angin yang boleh merobek perpaduan kaum serta meniup api kemarahan terhadap pihak kerajaan telah menjadi intipati dan agenda tetap perjuangan golongan ini.

Satu persoalan yang sukar untuk dirungkai adalah apakah tujuan sebenar golongan ini yang cuba melaga-lagakan rakyat kita yang hidup aman dan damai.
Tidak cukupkah dengan apa yang berlaku pada 13 Mei 1969. Kenapa mereka perlu bermain dengan api. Wajarkah keamanan yang kita nikmati selama ini dikorbankan demi untuk memuaskan hawa nafsu golongan yang mengejar kedudukan, kuasa dan pengaruh semata-mata. Peristiwa bantahan penduduk terhadap pembinaan kuil di Selangor baru-baru ini yang melibatkan perarakan dengan kepala lembu merupakan antara insiden yang sepatutnya tidak berlaku. Ia jelas mengguris hati dan perasaan rakan-rakan kita dari kalangan penganut agama Hindu. Kita percaya penduduk yang membuat bantahan ini tidak sedikitpun berniat untuk menghina agama rakan mereka namun ia jelas telah dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan seterusnya mengambil kesempatan untuk bertindak sedemikian rupa. Akhirnya para penduduk itu secara khususnya dan umat Islam secara amnya dipandang serong kerana dikatakan telah menghina agama lain. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Insiden sedemikian rupa tidak boleh dipandang ringan dan diambil mudah. Ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Andai kita leka maka dikhuatiri ia akan menular dengan cepat seperti wabak selesema babi Influenza A (H1N1) yang semakin sukar untuk dibendung kelak. Sudah semestinya kita tidak rela dan sanggup melihat peristiwa 13 Mei berulang kembali.

Justeru, besarlah harapan semua agar pihak berkuasa dapat membawa pihak yang bertanggungjawab ini ke muka pengadilan sekali gus menjernihkan kembali hubungan antara kedua-dua pihak yang terlibat dan seterusnya membersihkan juga nama baik umat Islam secara keseluruhannya. Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk terus memerangi golongan yang sebegini yang cuba mengganggu-gugat keamanan dan kestabilan negara kita. Janganlah esok kita menyesal. Bak kata pepatah, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya. Malaysia adalah rumah kita. Sebagai penghuni rumah ini kita wajib menjaga dan memelihara keselamatannya dan melindunginya sepanjang masa. Usahlah kita membenarkan anasir-anasir liar ini bermaharajalela dan mengambil kesempatan kerana akhirnya mereka akan merobohkan rumah kita suatu hari nanti. Jelas itulah tujuan dan matlamat utama mereka selama ini.

Rakyat Malaysia seharusnya menghayati konsep 1Malaysia dengan sepenuh jiwa dan raga jika mahu melihat perpaduan dan keharmonian kaum terus subur di bumi bertuah ini. Gagasan ini merupakan ramuan yang cukup lengkap dan sempurna untuk kita jadikan sebagai panduan dan pedoman bagi membina negara dan bangsa yang dicita-citakan. Ingatlah bahawasanya kita wajib mempertahankan kontrak sosial yang telah diwariskan kepada kita oleh generasi terdahulu agar kita dapat membekalkannya dalam keadaan yang sedia ada kepada generasi yang akan datang. Itu adalah tanggungjawab kita bersama.

11 ulasan:

Gaaman berkata...

peristiwa 13 mei 1969 bukan la alasan utk org Sabah tidak memikirkan secara positif, berpandangan jauh, berfikiran kritis demi kebaikan(kemerdekaan optimum) Sabah. Peristiwa itu seharusnya menguatkan semangat org Sabah utk lebih kuat berjuang agar tidak dianak tirikan. Beri la peluang seluas-luasnya kpd org Sabah utk menentukan hala tujunya sendiri. Dgn kata lain memilih alternatif yang ada, siapa tahu 'kan? sbb selama 46 thn Sabah bersama2 membentuk gagasan Malaysia tpi masih dikelas duakan.
Oleh itu kalau nak kekalkan kuasa, pihak BN harus/mesti memberi lebih perhatian dan peruntukan di Malaysia Timur. Kalau tak, bye-bye pada PRU 13 nanti!!.

saya berpendapat peristiwa membawa kepala lembu di Selangor dan demontrasi di Kg Buah pala di Pulau Pinang adalah angkara pihak yg anti kerajaan PR. apa tidaknya dah bgitu selesa dgn kuasa 52 thn(di malaya) tetiba hilang begitu je..

Emma berkata...

Sia pun sokong apa si gaaman punya pendapat..beri peluang pada orang sabah buktikan kemampuan mereka,dan semua pihak perlu mengambil peranan yang penting,baru lah menjadi apa yg di harapkan..pemimpin perlu ada akar yang kuat untuk bertumbuh segar..rakyat perlu ada tembok yang kuat untuk bersandar.

Tanpa Nama berkata...

"Rakyat Malaysia seharusnya menghayati konsep 1Malaysia dengan sepenuh jiwa dan raga jika mahu melihat perpaduan dan keharmonian kaum terus subur di bumi bertuah ini."

Sdr Junid, saya rasa bukan rakyat yang perlu menghayati konsep 1M'sia. Semua pemimpin dan Sdr Sendiri mesti terlebih dahulu faham dan hayati konsep tu. Jangan keluarkan statement berbentuk perkauman spt dalam artikel sdr sebelum ini. Para Pemimpin BN skrg ni juga macam tidak faham langsung konsep tu. Kata 1M'sia tapi asyik2 Melayu saja, Demo Lembu lah, halang hak agama lain guna words ALLAH lah, pengkhianat bangsalah, macam-macam lagilah...Let leaders do it first lah geng..

Junid Bin Gunsalam berkata...

hai tanpa nama,

tq dengan pendapat ko. tapi sebelum kita memberi pandangan kita harus memahami secara teliti. artikel saya ini bertujuan dan mengingatkan agar negara kita tidak lagi mengalami peristiwa 13 mei kali ke-2. kita rakyat malaysia patut bersyukur dengan keamanan negara kita. sya rasa itu yang lebih penting. apa guna kita hidup senang lenang jika keamanan negara kita tidak terpelihara. pengeboman disana- sini, bunuh membunuh di merata tempat. akhirnya kita hidup dlm ketakutan. kekayaan kita tidak boleh membeli keamanan yang kita warisi selama ini. satu lagi, apa-apa yang berlaku dalam negara kita jangan terlalu sangat mempolitikkan. itu tidak baik...

Don MS berkata...

Sejahtera untuk kamu saudara Junid... izinkan saya beri pandangan sedikit...

13 mei terjadi kerana maslah ketidak seimbangan ekonomi dan sifat fanatik "taksub" terhadap kaum sendiri oleh semua kaum di Tanah Melayu pada ketika itu. Rakyat 1 Malaysia harus sedar bahawa, perpaduan dan persefahaman kaum-kaum di Malaysia selepas peristiwa 13 mei itu sebenarnya sangat longgar? Tidak ada jaminan tentang keberterusan perpaduan dan persefahaman ini kerana beberapa sebab:

1. Kita masih lagi menjadi negara yang pelbagai latar belakang penduduk... bermakna masih ada pelbagai aspirasi dan variasi.

2. Politik dalam negara kita masih lagi mengagung-agungkan politik perkauman berbanding politik berasaskan ideologi. Bila ada parti politik yang sedemikian... maka segera dicantas atau tidak diberi ruang oleh kerajaan...

3.Sikap prejudis kaum majoriti terhadap kaum minoriti ataupun kumpulan agama dominan terhadap kumpulan agama kecil yang lain masih lagi menebal, dipelihara dan malah cuba disuburkan...

Secara logiknya, bagaimana hendak mencapai hasrat 1 Malaysia dalam keadaan seperti ini? Jika kita cuba menghayati (kononnya... sehingga tunggag terbalik... buntut ke atas, kepala di bawah..) pun, pada akhirnya konsep ini akan berakhir dan dilupai begitu sahaja apabila kepimpinan berubah... sama seperti konsep Islam Hadari oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu...

Kerajaan perkenalkan konsep 1 Melaysia. Tapi setakat ini cuma sekadar konsep semata-mata. Tidak lebih daripada itu. Mengapa?
Betul kata tanpa nama... isu kepala lembulah... isu kuil lah... isu kalimah Allah lah... macam-macam isu yang ternyata menyongsang daripada matlamat asal 1 Malaysia itu sendiri.

Peristiwa, 13 Mei sebenarnya tidak melibatkan penduduk Sabah dan Sarawak secara langsung ketika itu. Cuma adalah tempiasnya, atas sebab kita sudah menyertai Malaysia. Perpaduan kaum di kedua-dua negeri ini pada waktu itu tidak terjejas langsung. CUMA SEKARANG INI KITA SEMUA SEMAKIN TERJEJAS.. LANTARAN KELEMAHAN DAN KEBODOHAN SEGELINTIR PEMIMPIN NEGERI SENDIRI... YANG CUMA TAHU "MENJEK" DAN MENGIAKAN KEDAJALAN KEBANYAKAN PEMIMPIN POLITIK DARI SEBERANG.

Kata Sdr. Junid,
"apa guna kita hidup senang lenang jika keamanan negara kita tidak terpelihara."
Rasanya ayat ini terlalu puitis...tapi cuba kita lihat secara kritis pula...

*Secara logiknya, kesenangan hidup itu adalah resepi utama kepada kewujudan keamanan"

*Tetapi buat masa ini... kesenangan hidup yang tidak terkawal sekelompok pemimpin politik di negara kita sebenarnya menjadi "PEMBUNUH" utama kepada keamanan rakyat 1 Malaysia.

err.. macamana untuk tidak mempolitikan apa-apa yang berlaku di negara kita, sedangkan perkara itu sendiri memang angkara orang politik????

Junid Bin Gunsalam berkata...

hai malaikatSesat,

tq dengan pandangan ko. kesempatan ini saya ada beberapa pertanyaan untuk ko jawab;

1. apa cadangan anda untuk menguatkan perpaduan kaum yang saudara katakan sgt longgar selepas peristiwa 13 mei?

2. Apa bukti yang semua isu yang berlaku di negara kita adalah kerja orang politik? orang politik BN atau Pembangkang?

3. jika Anwar memerintah adakah negara kita mencapai tahap perpaduan kaum yang stabil dan tiada masalah dlm negara?

4. jika anwar menjadi Perdana Menteri dan ketika itu berlaku isu nasional, adakah ini mainan orang politik? jika ia, macam mana kita megatasi masalah ini seperti tuduhan saudara?

thanks dengan jwapan saudara nanti..

Tanpa Nama berkata...

Hi sdr Junid, Terima Kasih respon sdr dengan soalan saya.

Saya nak bantu Malaikatsesatlah jawab segala soalan sdra tu.

Soalan 1:
Apa susah sangat dgn soalan ni. Buktikan 1Malaysia yang sebenar-benarnya. Jangan nak heboh pasal 1M'sia tapi tindakan takdak. Jangan cakap tak serupa bikin. 1M'sia ertinya semua rakyat mendapat keadilan sewajarnya. Apa ertinya rakyat Sabah Sarawak bayar lebih dan rakyat semananjung pula bayar kurang dalam semua produk dalam negara. Apa ertinya tiada muka orang dusun dapat biasiswa luar negara tiap-tiap tahun walaupun cemerlang dari melayu?.

Soalan 2:
Hahaha..ini soalan lucu. Saya tanya balik sdr Junid la, apa buktinya yang semua isu nasional skrg bukan dilakukan oleh org politik?. Apa pula isu yang dibangkitkan oleh org bukan politik skrg?

Soalan3:
Siapapun Anwar itu tidak penting. kata org kalau nak tahu rasa sebenar sesuatu makanan maka ia harus dicuba. Bgmana nak tahu rasanya masinkah, masamkah, pahitkah atau tawarkah kalau tak makan dulu... Pokoknya, yang baik harus diteruskan kalau tak baik buang saja cepat-cepat. Sdr Junid juga harus tahu, Bukan BN saja boleh menjamin kestabilan dalam negara kita.


Soalan 4:
hahaha, ini soalan lucu yg kedua. Klupun Anwar PM, kalau sesuatu isu itu ditimbulkan oleh org politik maka ini adalah mainan org politik la. Takan pula ianya mainan para kambing, kerbau atau lembu...



hahahaha ok. wakaka

gundohing km berkata...

Sokong Gaaman,tuan ada melayarikan blog seperti GAP kah..rasa-rasanya semangat perkaumannya sangat menebal berdasarkan tulisannya, pemiliknya pemimpin parti..dalam BN sedangkan pemimpin PAS masih bertimbang rasa..sila sebanarnya BELUM pernah melihat blog yang begitu kasar dalam mana2 pemimpin/pengikut Pakatan. Tuan Junid, tolonglah bersuara dan berani menentang parti perkauman yang melampau dalam BN...rasanya seluruh warga Malaysia memahaminya kecualilah jika mereka membutakan mata dan menutup telinga.

Junid Bin Gunsalam berkata...

saudara tanpa nama,

sy rasa saudara tidak ikhlas dlm mejawab soalan. saudara terpengaruhi dengan emosi saudara. sila lah memberi pendapat yang bernas. jangan cuba menegakkan benang yang basah

Don MS berkata...

Salam untuk Sdr. Junid...
Maaf jika ulasan saya nampak "menghentam"... tapi memang ada bau-bau menghentam pun... Cuma untuk menentukan sama ada ianya tuduhan atupun tidak, bergantung kepada interpretasi saudara.

Apapun, saya ucapkan terimakasih kepada "Tanpa Nama" kerana kerana memberi jawapannya bagi pihak saya. Memang apa yang saudara Tanpa Nama katakan itu ada benarnya. Oleh kerana sdr. Junid bertanya, maka saya akan beri jawapan dari pihak saya...

1. Perkara asas yang perlu untuk mengeratkan perpaduan dalam negara Malaysia ialah dengan mengikis rasa prejudis terhadap kaum lain dan menghapuskan semangat taksub @asabiyah @ fanatik terhadap kaum dan kumpulan sendiri.Perkara ini memanglah telah lama disarankan oleh kerajaan... namun cuma sekadar "retorik" semata-mata.
HAKIKATNYA sistem politik di negara kita masih mengagung-agungkan "politik perkauman" dan "politikawan". UBAH KEADAAN INI DENGAN MEMPRAKTIKKAN PENUBUHAN PARTI POLITIK BERDASARKAN "FAHAMAN POLITIK" SAHAJA SEPERTI "DEMOKRAT"..."LIBERAL"... DAN "SOSIALIS".

2. Setiap perkara yang berlaku dalam negara kita ada hubung kait dengan TINDAK-TANDUK ORANG POLITIK ATAUPUN ORGANISASI POLITIK. ITULAH KENYATAANNYA. TIDAK KIRA PARTI PEMERINTAH MAHUPUN PARTI PEMBANGKANG. Cuma yang selalu dipersalahkan ialah rakyat. Sedangkan rakyat cuma bertindakbalas terhadap senario atau situasi panas yang puncanya daripada orang politik atapun organisasi politik.
Saya ambil satu contoh di sini... demonstrasi menentang ISA sejak sekian lama misalannya adalah reaksi kepada tindakan-tindakan kerajaan BN yang bersifat menyeleweng dan menyalahguna Akta tersebut. Menahan wartawan... ahli parlimen... penulis blog... dan ramai lagi tanpa bukti kukuh dan tanpa memberi peluang BELA DIRI. Sedangkan negara ini adalah negara demokrasi. Ingat lagi saudara tentang nasib Dr. Jeffrey dan Bos saudara sendiri Dr. Maximus... suatu ketika dahulu?
3.Jika Anwar memerintah? Saudara silap! apa kena mengena ulasan saya dengan Anwar? Saya cuma mengkritik keadaan. Bukan kepartian. Cuma kerana BN memerintah sekarang... maka nampak seolah-olah ulasan saya bias.
Apapun, seperti yang saya katakan dalam ulasan-ulasan sebelum ini, bahawa kita kena berusaha MENGIKIS BUDAYA DAN CARA BERFIKIR DENGAN SEMPIT SERTA KOLOT... bahawa semua orang boleh melakukan sesuatu yang nampak mustahil, asalkan orang itu bijak, diberi peluang dan ruang yang secukupnya. Bukan berfikiran "kami sahaja yang boleh, orang lain tidak boleh".
4. Jika berlaku isu nasional??? Umum sangat... kurang pasti isu mana yang sesuai untuk diintepretasikan. Apapun, sekali lagi saya katakan di sini... seperti yang saya tegaskan dalam jawapan no. 2 di atas.. Setiap isu yang berlegar dalam negara kita, memang ada kaitan dengan "politik". Cuma persoalannya adalah sama ada secara langsung ataupun tidak.

Jika Anwar diberi peluang oleh rakyat Malaysia untuk menjadi PM, tiada jaminan untuk tidak berlaku isu-isu sensasi yang akan dikaitkan dengan pemerintahan beliau dan partinya. Seperti juga yang telah terjadi di negeri-negeri yang sedang mereka kuasai sekarang ini.

Apa yang boleh kita (sebagai rakyat) buat ialah,
1.Gunakan KUASA kita untuk mengubah keadaan, melalui proses pilihanraya dan pungutan suara.
2. Tegakkan kuasa rakyat (people's will) untuk mengawal dan mengimbangi kuasa institusi (institutional's will) yang sekarang ini sedang mengawal segala-galanya dalam negara kita.

Banyak penjelasan yang ingin saya berikan, namun ruangan blog ini adalah untuk semua... beri peluang juga kepada blogers lain untuk mengemukakan idea bernas mereka...

SEKIAN. TQ

kimaragang tulin berkata...

saya setuju pandangan saudara tanpa nama, malaikat sesat

kalau BN tidak berlaku adil dalam pemerintahan..tidak mustahil boleh wujud 13 mei versi ke-2.

soalnya, 13 mei bukan dicetuskan oleh perasaan permusuhan kaum semata-mata. tetapi ia adalah kesan daripada kegagalan kerajaan melakukan keadilan kepada semua kaum.

permusuhan, peperangan dan pembunuhan adalah tindakbalas atau kesan daripada kegagalan kerajaan.

kita mesti teliti punca sebenar. kegagalan kerajaan akan mewujudkan kritikan dan rasa tidakpuas hati sebilangan kaum yang merasa tertindas.akibatnya kaum lain pula akan tersentuh hati dan bibit-bibit permusuhan akan muncul.

orang melayu akan mempertikaikan dasar kerajaan yang gagal menjaga kepentingan bumiputera dan akan mempersoalkan kenapa kaum bukan bumi lebih selesa dan mewah. kaum bukan bumi pula akan tersinggung, dan khuatir bumiputera mempunyai niat yang jahat untuk menjatuhkan mereka. jadi tidak hairanlah berlaku isu-isu cabang lain seperti mempertikaikan kontrak sosial yang sedia ada.

jika BN mahu kekalkan keamanan, pastikan setiap dasar boleh mencapai keseimbangan kaum dan keadilan rakyat jelata.