Selasa, Mei 26, 2009

Gagasan Satu Malaysia perlu formula BM > 2T

RUPA-RUPANYA setelah 52 tahun merdeka, Malaysia masih belum benar-benar berjaya menyatukan rakyatnya yang pelbagai kaum. Ia menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa memperkenalkan gagasan Satu Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang cuba 'diperjuangkan' oleh pembangkang, konsep Satu Malaysia bermatlamatkan perpaduan nasional dan bukannya ruang cauvinis membuat tuntutan bukan-bukan. Jika selama ini perpaduan hanya berasaskan konsep toleransi, kini ia dilihat perlu ditingkatkan kepada konsep penerimaan. Maksudnya, rakyat harus menerima hakikat sejarah dan sosiobudaya yang menjadi latar kepada konsep negara bangsa Malaysia.

Namun persoalan paling asas bagi penghayatan konsep penerimaan ini ialah sejauh manakah ketelusan dan ketulusan (2T) semua kaum? Sejauh manakah orang Melayu dapat menerima orang Cina, orang India dan suku pribumi di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak, sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia? Sejauh manakah pula kaum dan etnik lain itu mengiktiraf orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini? Persoalan-persoalan itu hanya dapat dijawab dengan telus dan tulus jika semua rakyat bertutur dalam bahasa yang sama. Walaupun termaktub dalam Perlembagaan Malaysia bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, oleh itu ia menjadi bahasa penyatuan. Tetapi kebanyakan rakyat malah kalangan pemimpin negara sendiri masih tidak menghayatinya.

Masing-masing leka dengan status quo dan bersikap prejudis terhadap kaum lain. Masih ada kepercayaan dalam hati bahawa kelainan akan menimbulkan persaingan "hidup-mati". Justeru, apa yang masih ada perlu dipertahankan. Kelainan gagal menimbulkan minat untuk perkongsian, sebaliknya menebalkan lagi bibit-bibit perkauman. Justeru, faktor Formula BM > 2T iaitu Bahasa Malaysia > Telus dan Tulus, perlu dijadikan akar gagasan Satu Malaysia jika mahu mencapai matlamat perpaduan tulen. Formula ini hanya boleh diuji apabila semua kaum bercakap dalam satu bahasa.

Secara psikologi, jika dua pihak (A dan B) berbual dalam satu bahasa, tiba-tiba pihak ketiga menyampuk dengan bahasa lain yang hanya difahami sama ada oleh A atau B sahaja, maka pasti ada yang terasa. Perasaan kurang senang itu akan menimbulkan prejudis dan boleh membawa kepada kerenggangan dalam hubungan sesama rakyat. Begitulah analogi bagi fungsi bahasa sebagai alat komunikasi bagi mencapai perpaduan. Bagaimana mungkin pelbagai kaum boleh disatukan jika masing-masing masih dibenarkan bercakap dalam bahasa yang saling tidak difahami. Hal ini menyebabkan jurang komunikasi yang membawa kepada kegagalan untuk rakyat menjadi lebih rapat dan bersatu. Bagaimana boleh diukur kefahaman seseorang jika ciri bahasa tidak dikongsi bersama? Kontrak sosial negara menyarankan bahasa yang difahami oleh semua dijadikan sebagai bahasa kebangsaan.

Terbukti ia adalah bahasa Melayu. Malangnya, tidak semua dapat menerimanya walaupun konon berpegang teguh kepada konsep toleransi dan demokrasi. Dalam kalangan orang Melayu sendiri termasuk para pemimpin, masih ada yang tidak yakin dengan martabat yang disepakati bersama itu. Justeru, "Apalah diharap padi seberang." Slogan "Bahasa menunjukkan bangsa" perlulah dihayati dengan setulus-tulusnya. Konsep 'bangsa' pula perlu dilihat secara menyeluruh. Bangsa Malaysia bukannya terhad kepada kaum Melayu sahaja. Ia terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India serta pribumi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Jangan lupa kaum-kaum minoriti lain. Kepelbagaian kaum akan memperlihatkan variasi bahasa yang rencam.

Malaysia sepatutnya cemburu dengan kejayaan Indonesia menggunakan bahasa Indonesia untuk menyatukan ribuan etnik di negara kepulauan itu.
Jika selama ini semua kaum di Malaysia bertoleransi dalam pelbagai perkara, sudah tiba masanya untuk kita menghayati konsep 'penerimaan.' Kita perlu faham bahawa toleransi mengandungi dua semangat iaitu memberi dan menerima. Tidak selamanya sesuatu kaum itu boleh memberi sahaja dan juga tidak selamanya sesuatu kaum itu boleh menerima sahaja.
Sejak 2007, bahasa Melayu diubah menjadi bahasa Malaysia. Pengorbanan 'mematikan' bahasa Melayu supaya ia tidak dilihat milik Melayu sahaja, harus dihargai oleh semua kaum demi mencapai hasrat Satu Malaysia.

Jadi, gunakanlah bahasa Malaysia supaya kita semua telus dan tulus.

3 ulasan:

Umar Safri berkata...

sdr. junid,

apa khabar? lama x berkunjung ke sini. pd dasarnya sy juga bersetuju dgn konsep 1 itu boleh menyatukan kepelbagaian. biasanya elemen2 spt bangsa, budaya, bahasa, tempat dan seumpama dgnnya dirujuk sbg simbol perpaduan. tapi, sy ingin melebarkan sedikit skop perbincangan. setujukah sdr kalau sy katakan bhw bangsa, budaya atau bahasa itu bukan alat yg paling ampuh utk membentuk 1 perpaduan yg kukuh? tapi AGAMAlah yg boleh menyatukan manusia. tq

p/s: bincang2 saja bah... tiada niat mau cetuskan konfrontasi/provokasi.

Junid Bin Gunsalam berkata...

hye umar..
selamat bertemu..

ia saya pun memang setuju sangat dengan pdpt ko. memang segala sesuatu pegangan agama itu amat penting dlm menentukan identiti individu itu. kalau tidak pegangan agama yang kukuh, maka itulah penyebab banyak jenayah berlaku seterusnya melonggarkan perpaduan dikalangan kita...

Tanpa Nama berkata...

cabaran 1 malaysia:

1) mainan sentimen kaum dan agama
2) Pengagihan projek secara adil untuk keseimbangan kekayaan
3) Pembangunan wilayah yang tidak seimbang
4) PATI
5) Kebebasan Media untuk semua parti politik
6) Jawatan besar dalam kakitangan awam?berapa banyak anak sabah diberi peluang?
7)Mengapa Musa Aman terlalu lama menjadi Ketua Manteri mengatasi rekod kaum lain terutama kadazandusun?
8) Kesian Jalan sabah yang tenat berbanding semananjung
9) gaji pekerja restoran disemananjung sekitar RM 800 dan sabah RM 250.
10)Jawatan menteri kerajaan Pusat, YB sabah dibagi jawatan yang tidakla menyumbang secara langsung kepada pembasmian kemiskinan.
11) alahai Kompeni semananjuang merampas tanah kita sedangkan kita tidak diberi peluang mendapatkan berribu hektar tanah disemananjung.

alahai one malaysia........kimaragang tulin