Khamis, Mei 28, 2009

1Malaysia dalam 'bahasa rakyat'

KONSEP 1Malaysia atau Satu Malaysia yang berteraskan 'Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan' jelas menunjukkan betapa kesungguhan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merealisasikan transformasi yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan. Namun begitu konsep ini tidak akan sampai menusuk ke dalam hati dan jiwa setiap rakyat sekiranya konsep ini tidak dapat mereka fahami mengikut cara masing-masing. Terdapat ramai rakyat yang mungkin masih tertanya-tanya dan keliru dengan konsep Satu Malaysia. Rakyat pastinya akan tertanya-tanya dengan gagasan Satu Malaysia, transformasi dan liberalisasi, akhirnya rakyat dapat apa?

Rakyat mesti faham Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama tetapi dapat mengekalkan kemakmuran sejak 52 tahun merdeka walaupun diusik oleh segelintir mereka yang mempunyai agenda tersendiri. Kejayaan ini dikecapi hasil daripada usaha pemimpin-pemimpin terdahulu yang menjadikan kemajmukan rakyat sebagai sumber kekuatan untuk kesejahteraan dan perpaduan di kalangan rakyat. Gagasan ini merupakan satu ramuan utama ke arah perpaduan, kebersamaan, kekitaan dan saling tolong-menolong tanpa mengira warna kulit ibarat berteduh di bawah satu rumah dalam sebuah keluarga yang besar.

Walaupun disogok dengan pelbagai tafsiran oleh pihak pembangkang rakyat harus mengakui bahawa kemajmukan yang ditanam sejak sekian lama adalah hakikat yang harus diterima oleh semua tanpa mengira ideologi politik.
Kesungguhan kerajaan terutamanya Perdana Menteri begitu ketara sekali namun jika rakyat tidak memahami, menerima dan merasainya, konsep ini hanya tinggal sebagai konsep sahaja yang hanya difahami oleh pemimpin-pemimpin dan sebahagian daripada kita sahaja. Ternyata bebanan ini amat bergantung kepada Datuk Seri Dr. Rais Yatim atau lebih tepat Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk memikul amanah bagi memastikan setiap warga Malaysia memahaminya.

Adakah cukup sekadar membina laman blog untuk memberi penerangan atau kempen melalui televisyen dan radio? Pastinya rakyat perlu diceritakan konsep ini mengikut 'bahasa rakyat'. Jika hendak memenangi dan memberi kefahaman kepada rakyat, kita perlu menjadi 'rakyat', tinggal, duduk dan bersembang mengikut cara mereka. Jika terdapat segelintir daripada masyarakat yang gemar berbincang di warung-warung kopi, maka dalam memberi penjelasan konsep ini, wakil-wakil kerajaan yang bertanggungjawab perlu bersama-sama orang kampung di sana.

Jika perlu beralih kepada cara lama iaitu menggunakan wayang pacak, wayang kulit, dikir barat, rodak dan boria sebagai wadah untuk mengajak orang kampung berkumpul maka lakukanlah, asalkan mesej dan kefahaman yang jelas tentang konsep Satu Malaysia dapat disampaikan. Jika sukan boleh dijadikan wadah untuk mendekati golongan belia yang berjumlah 12 juta orang untuk menerangkan konsep ini, maka agensi yang berkaitan perlu melaksanakan tanggungjawab dalam memberi kefahaman ini. Jika golongan profesional memerlukan pendekatan yang profesional, maka kerajaan perlu segera mendekati mereka agar tidak ada rakyat membuat tafsiran dan kefahaman sendiri tentang konsep Satu Malaysia.

Ini bukan masanya untuk kita bergegar berdebat membincangkan isu tentang konsep Satu Malaysia tetapi rakyat ternganga-nganga membuat kesimpulan mengikut kefahaman mereka. Waima apa jua yang direncanakan, apa yang rakyat mahukan adalah pemimpin atau lebih tepat lagi wakil rakyat mereka yang sentiasa berada bersama mereka ketika susah dan senang bukannya masa hampir pilihan raya atau jika ada liputan media. Apa yang mereka mahukan jika ada kematian, Yang Berhormat (YB) mereka datang mengunjung, jika ada kenduri YB mereka datang bertandang, jika ada jalan rosak, rumah dipukul ribut, YB datang menghulurkan bantuan dan membuat penyelesaian segera.

Rakyat mahukan pemimpin yang mengota apa yang dikata, cakap serupa bikin dan bikin serupa cakap. Tidak cukup sekadar berkobar-kobar ketika berdebat tetapi longlai ketika berdepan masalah rakyat. Dalam mengharungi proses transformasi ini, rakyat mahukan pemimpin yang bukan sahaja mengetahui dan memahami kesusahan mereka, tetapi pemimpin yang dapat 'merasai' kesakitan mereka. Misalnya apabila lif rosak maka terpaksa mereka memerah keringat dan bertongkat untuk sampai ke rumah masing-masing di tingkat atas, ada pemimpin yang dapat membuat penyelesaian segera. Jika ini dapat dirasai oleh para pemimpin rakyat, pastinya hasrat dan aspirasi kerajaan lebih mudah untuk mereka terima dan fahami. Dekati, fahami, selami dan menjiwai setiap kesusahan rakyat.

Rakyat perlu diberi kefahaman yang jelas kerana konsep Satu Malaysia ini begitu menarik dengan matlamat antaranya setiap rakyat yang berkelayakan dan memerlukan pertolongan akan dibantu oleh kerajaan. Kerajaan juga akan memastikan tidak akan ada mana-mana pihak yang tercicir. Kerjaan mengutamakan setiap warganegara mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing seperti mana yang digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan. Namun matlamat murni ini tidak akan tercapai seandainya rakyat tidak dapat menghayati, memahami dan merasai kesungguhan kerajaan untuk meletakkan rakyat di hadapan.

Konsep Satu Malaysia perlu difahami oleh setiap rakyat dengan kefahaman yang betul. Ini kerana dalam konteks masyarakat majmuk, jika fikiran rakyat disogokkan dengan kefahaman yang salah, maka fikiran mereka akan berkecamuk. Natijahnya pilihan rayalah tempat mereka 'mengamuk'. Satu Malaysia perlu sampai ke telinga rakyat dengan satu kefahaman yang jelas dan ikhlas. Jangan jadi seperti mengalunkan lagu kepada si pekak, irama dan melodinya lunak merdu tetapi tidak dapat dinikmati dengan jelas, tetapi jika kena alunannya, si pekak dapat menghayatinya walaupun iramanya perlahan.

5 ulasan:

akibaragon berkata...

Apa macam bos kalau itu pemimpin yang tidak memahami,merasai keluhan dan suara hati rakyat seperti yang berlaku di N5 Tandek/P168 Kota Marudu.Orang2 Tandek/Kota Marudu seperti menyanyi dan mendendangkan irama kepada si pekak la tu kan atau dengan kata lain si yb adun/parlimen itu adalah si pekak atau buat-buat pekak.Mungkin mau cangkul dulu diorang punya taik telinga.kiissiiww

musli oli berkata...

Tahniah saudara tulisan dan hujah yang baik. Sebenarnya ramai keliru mengenai konsep 1Malaysia. Baru-baru ini saya bawa perkara ini kepada SETPOL PM Dato shahlan. Katanya satu booklet akan dikeluarkan tak lama lagi. Konsep 1Malaysia harus dilihat dalam konteks budaya sahaja. untuk lanjutnya lihat artikel saya "konsep negara bangsa. apa itu itu 1Malaysia? www.muslioli.blogspot.com

Tanpa Nama berkata...

saudara pengarang..
rasanya kita perlu ingat bagaimana 1malaysia itu wujud satu ketika dulu. Kaedah PKR mendekati rakyat menggunakan internet sebagai platform,demikian juga betapa effektifnya nukilan che det dlm tempoh tidak sampai sebulan pengunjung mencecah 1 mil..menjadi tekanan kepada org2 kuat kita. harus kita perhalusi kejujuran kewujudan 1M itu sebenarnya.. selamat berjuang..

ison berkata...

Bagi saya konsep 1M ni sebenarnya sudah lama wujud dan cuba diperjuangkan oleh ramai pemimpin negara. Namun PM mengetengahkannya semula dengan cara penjenamaan semula (rebranding). Salah satu sebab utamanya (saya kira) ialah untuk memenangi semula hati rakyat yang semakin menjauh daripada BN. Betul atau tidak kita sama2 fikirkan...

Tanpa Nama berkata...

Tahniah Junid..tulisan yang baik

tapikalau najib setakat cakap 1 malaysia! sedangkan projek diorang-diorang juga, orang kaya ketawa dan orang tandek merana..apa guna juga. minta najib, kembalikan komisen sukoi jet dan kapal selam yang dia makan dengan altantuya.